Gaji Pensyarah di Saudi Arabia
AlhamduLillah, kerana saya selamat pulang ke tanahair selepas berada lebih kurang 6 hari di King Saud University sebagai profesor pelawat. Walaupun perjalanan agak jauh dan kebetulan pula saya baru sahaja menjalani pembedahan batu karang, saya amat bersyukur kerana sahabat di King Saud University amat bertanggungjawab dan banyak membantu. Oleh kerana kesihatan saya tidak mengizinkan bergerak aktif, rakan-rakan dari King Saud University datang ke hotel tempat saya menginap untuk bertanyakan perkara-perkara yang berkaitan dengan penerbitan dalam jurnal berimpak dan penyelidikan. Sewaktu di King Saud University, sempat saya bertanya kenalan mengenai gaji pensyarah di sana. Rata-rata mengatakan pensyarah berbangsa Arab akan memperolehi lebih daripada pensyarah luar. Bagi pensyarah luar yang berpangkat profesor dan profesor madya, gaji bulanan antara 25,000-30,000 sebulan tanpa cukai pendapatan, disamping elaun rumah 20,000 setahun. Itu juga bergantung kepada kepakaran dan bangsa, kerana ianya akan ditentukan oleh universiti. King Saud University merupakan universiti pertama di Arab Saudi dan merupakan universiti terbaik di timur tengah mengikut ranking terbaru universiti dunia. Oleh yang demikian, bayaran gajinya agak tinggi berbanding universiti tempatan lain. Paling yang ditekankan ialah penulisan artikel dalam ISI. Itulah jawapannya jika anda berminat untuk memohon profesor di King Saud University, dan mungkin juga di universiti lain di sini. Ini merupakan kriteria terbaru kerana kerajaan Arab Saudi ingin meningkatkan prestasi universitinya melalui penerbitan artikel dalam jurnal antarabangsa. Itulah serba sedikit gambaran mengenai pendapatan seorang pensyarah luar di Arab Saudi. Berminat?....cubalah nasib,...mana tahu ada rezeki di Arab Saudi...
Comments